Latest About Handball

Handball traning part II wing shoots

handball training part I Crosslegs

Monday, February 9, 2009

SEJARAH DAN ISU KRITIKAL SUKAN DAN REKREASI

SEJARAH DAN ISU KRITIKAL SUKAN DAN REKREASI
Pensyarah : Prof. Madya Dr. Yusuf b. Ismail
Ringkasan : Kursus ini menekankan sejarah penubuhan dan bagaimana sukan dan permainan itu telah dicipta. Di samping itu, kursus ini turut membincangkan beberapa isu yang sering dibangkitkan seiring dengan perkembangan sukan dan rekreasi itu sendiri. Berikut disenaraikan beberapa sejarah sukan dan permainan yang terdapat pada masa kini.
Pengenalan Berikut adalah beberapa jenis sukan dan permainan yang sering dimainkan dewasa ini. Kesemua jenis sukan dan permainan ini adalah di antara yang popular dimainkan di peringkat antarabangsa seperti Kejohanan Dunia, Kejohanan Eropah, Kejohanan Asia, Peringkat Olimpik, Sukan Asia, Sukan SEA dan juga di peringkat kebangsaan. Ia juga turut dimainkan dan dipertandingkan diperingkat sekolah-sekolah. Setiap jenis sukan ini telah pun bermula sejak beberapa dekad yang lalu dan telah melalui beberapa perubahan dari segi cara permainan dan juga undang-undangnya. Ia disesuaikan mengikut peredaran zaman bersesuaian dengan kehendak semasa bagi memajukan dan mempertingkatkan martabat sukat tersebut. Kesemua jenis sukan dan permainan ini mempunyai sejarah penubuhannya yang tersendiri. Ia telah diperkenalkan secara sistematik bagi menampilkan pemain yang betul-betul berwibawa dan berkemahiran tinggi. Terdapat perbezaan antara sukan zaman dahulu dan zaman sekarang. Dahulu ia dimainkan sebagai mengisi lapang dan memenuhi keperluan semasa. Namun, pada hari ini sukan merupakan satu aktiviti yang dilakukan untuk mencari keuntungan dan mata pencarian seseorang. Rumusanya, sukan pada zaman sekarang dimainkan secara komersil dan mendatangkan hasil dan pulangan yang lumayan kepada kelab-kelab dan individu itu sendiri. Berikut dinyatakan serba sedikit mengenai sejarah sukan dan permainan ini dilaksanakan.
1. Tenis Terdapat pelbagai jenis sukan raket yang dimainkan dewasa ini dan tenis merupakan permainan yang paling diminati ramai. Menurut beberapa cacatan sejarah, permainan menggunakan bola dan raket sudah dimainkan sejak zaman purba lagi, iaitu di Mesir dan Greece. Pada abad kesebelas, sejenis permainan iaitu jen de paume yang menyerupai permainan tenis kini, telah dimainkan buat pertama kali di sebuah kawasan di Perancis. Bola yang digunakan disalutkan dengan benang berbulu, manakala pemukulnya hanyalah tangan. Permainan ini kemudian diperkenalkan ke Itali dan Britain pada abad ke 13. Ia mendapat sambutan yang menggalakkan dalam masa yang singkat. Ramai rakyat tempatan menunjukkan minat terhadap permainan ini dan mula bermainnya. Sejak itu perkembangan sukan ini terus meningkat ke negara Eropah yang lain. Raket bertali pula diperkenalkan kali pertama pada abad ke 15 oleh Antonio da Scalo, seorang paderi berbangsa Itali. Beliau menulis undang-undang umum bagi semua permainan yang menggunakan bola termasuk tenis. Majalah inggeris Sporting Magazine menamakan permainan ini sebagai tenis padang. Dalam buku Book of Games And Sports yang diterbitkan dalam tahun 1801 menyebut sebagai tenis panjang. Tenis, pada mulanya merupakan permainan golongan atasan. Tenis gelanggang rumput yang terkenal di zaman Queen Victoria disertai oleh golongan pertengahan yang menjadikannya sebagai permainan luar. Kelab tenis pertama ditubuhkan ialah Kelab Leamington di Perancis yang telah diasaskan oleh J. B. Perera, Mejar Harry Gem, Dr. Frederick Haynes dan Dr. Arthur Tompkins pada tahun 1872. Pada masa itu, tenis dikenali sebagai pelota atau lawn rackets. Dalam tahun 1874, permainan tenis telah pertama kali dimainkan di Amerika Syarikat oleh Dr. James Dwight dan F. R. Sears. Sementara itu, All England Croquet Club pula telah ditubuhkan pada tahun 1868. Dua tahun selepas itu, ia telah membuka pejabatnya di Jalan Worple, Wimbledon. Pada tahun 1875, kelab ini juga telah bersetuju memperuntukkan sebahagian dari tanahnya untuk permainan tenis dan badminton. Sehubungan dengan itu, satu set undang-undang permainan tenis gelanggang rumput telah digubal. Amerika Syarikat pula telah menubuhkan kelab tenisnya yang pertama di Pulau Staten. Bermula dari situlah, Amerika Syarikat telah berkembang dengan pesat sekali dalam permainan tenis. Ia telah berjaya melahirkan begitu ramai sekali jaguh tenis yang telah menguasai persada tenis antarabangsa. Kejohanan Tenis Gelanggang Rumput pertama bermula tahun 1877. Seramai 21 orang pemain telah mengambil bahagian. Spencer William Gore telah muncul sebagai juara. Kini kejohanan itu dikenali sebagai Kejohanan Wimbledon. Namun di Malaysia, permainan tenis mula diperkenalkan pada awal abad ke 20. Persatuan Tenis Malaysia (LTAM) telah ditubuhkan pada tahun 1921. Pada tahun 1953, pertandingan pertama telah diadakan untuk merebut Piala Chua. Beberapa tahun kemudian selepas itu, bermula pula perlawanan antara Wilayah Utara Malaya dengan Selatan Malaya untuk merebut Piala Guillemard untuk lelaki dan Mc Cabe Peay pula untuk wanita. Kini di Malaysia terdapat pelbagai pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa telah dijalankan. Malaysia juga turut menyertai pertandingan tenis peringkat antarabangsa seperti Piala Davis dan Piala Asia. Secara keseluruhannya, permainan tenis merupakan salah satu antara permainan yang termaju dan digemari di seluruh dunia. Ia telah melahirkan ramai jaguh dan bintang tenis yang terkenal seperti Jimmy Connors, John McEnro, Ile Natashe, Bjorn Borg, Boris Becker, Mats Wilander, Stefie Graff, Monica Seles, Martina Hingis, Pete Sampras, Andre Agassi dan ramai lagi. Kini, tenis menjadi satu permainan yang berbentuk komersil yang menawarkan hadiah yang tinggi nilainya.
2. Bola Keranjang Bola keranjang merupakan sukan yang kedua paling berprestij dari segi penyertaannya selepas olahraga. Ini kerana sukan ini dimainkan oleh lelaki dan juga wanita tanpa mengira peringkat umur di seluruh dunia, termasuk di negara kita. Malah di sesetengah negara bola keranjang adalah sukan utama mereka. Permainan bola keranjang ini mula dimainkan pada tahun 1891 di dalam sebuah gimnasium di bandar Springfield, Massachusetts, Amerika Syarikat. Ia dicipta dan dimainkan oleh jurulatih pendidikan jasmani. Dr. James Naismith telah diarahkan untuk mencipta sejenis permainan yang boleh dimainkan dalam musim sejuk. Beliau telah memutuskan untuk menggunakan bola yang lebih besar dan ringan supaya mudah dikawal dengan tangan. Keduanya, oleh kerana kawasan yang kecil dan terhad, pemain tidak dibenarkan berlari dengan bola, tetapi ia harus melontar bola. Akhir sekali, pemain tidak dibenarkan menghalang lawan dengan kaki, menolak, memegang atau menjatuhkan lawan. Sasaran yang digunakan untuk melontar bola berupa sebuah bakul yang diletakkan di tempat yang tinggi berukuran 3 meter dari aras gelanggang. Fokus utama permainan ini ialah melontar bola ke dalam bakul lawan. Pasukan yang banyak menjaringkan gol dikira menang. Peringkat awal permainan ini menggunakan bakul buah-buahan. Kemudian diubah kepada keranjang jaring dawai. Pada tahun 1906, gelung besi pula telah digunakan. Ini diikuti pula dengan penggunaan papan di belakang keranjang bagi menampan lantunan bola. Bentuk papan ini sering berubah sehinggalah ke bentuk sekarang. Pada peringkat awal, permainan ini dijalankan dengan satu pasukan hanya mengandungi tujuh pemain sahaja. Ia kemudian ditambah menjadi sembilan orang. Bagaimanapun, bilangan ini dikurangkan kembali kepada lapan orang dan akhirnya menjadi lima orang seperti yang ada sekarang. Masa permainan dibahagikan kepada dua bahagian yang setiap satunya mengandungi 15 minit. Lama-kelamaan, bola keranjang telah berupaya disebarkan ke negara seperti Eropah, Rusia dan juga Asia. Undang-undang permainan ini pula sentiasa dikemaskini dari masa ke masa. Bagi menyelaraskan lagi permainan ini Persekutuan Persatuan Bola Keranjang Amatur Antarabangsa (FIBA) telah ditubuhkan pada tahun 1932. Ibu pejabatnya di Munich, Jerman. Pada awalnya, pertubuhan ini hanya dianggotai oleh lapan buah negara sahaja, tetapi kini ia meningat kepada 160 buah negara. Pada tahun 1936, bola keranjang diterima sebagai salah satu acara dalam Sukan Olimpik. Tahun pertama kemasukannya terdapat sebanyak 21 negara telah mengambil bahagian. Sementara bagi wanita, ia mula dipertandingkan dalam Sukan Olimpik pada tahun 1976. Kejohanan bola keranjang yang agak popular ialah seperti Kejohanan Eropah, Kejohanan Amerika Syarikat (NBA ) dan Kejohanan Asia. Di samping itu, terdapat juga bola keranjang profesional, khususnya di Amerika Syarikat di mana para pemain dibayar gaji secara kontrak dan dibayar mengikut kepakaran dan kemahiran seseorang pemain tersebut. Michael Jordon adalah antara pemain bola keranjang yang paling terkenal dan menerima bayaran yang paling tinggi. Kemasukan bola keranjang ke negara kita pula dipercayai bermula pada awal abad ke 20. Ia dibawa oleh orang-orang Inggeris, tetapi tidak mendapat sambutan yang menggalakkan. Perkembangan sukan ini agak memberangsangkan selepas perang dunia kedua. Ini kerana adanya sekolah-sekolah yang mula memperkenalkan sukan bola keraanjang sebagai permainan utama mereka. Pada awal tahun 60-an, Persatuan bola Keranjang Amatur Malaysia (MABA) telah ditubuhkan dan pertandingan antara negeri bagi merebut Piala Agong dimulakan beberapa tahun kemudian. Selain itu, terdapat juga pertandingan dan kejohanan antara kelab, sekolah, persatuan dan pertubuhan yang diadakan dari setahun ke setahun. Disamping itu, Malaysia juga sering menjadi tuan rumah untuk beberapa kejohanan antarabangsa seperti Kejohanan Asia, Kejohanan Kelab-kelab Asia dan Kejohanan Terbuka Malaysia. Malaysia juga sering memenangi pingat emas dalam Sukan SEA. Dalam kejohanan Asia pula, Malaysia pernah beberapa kali menduduki tempat keempat di belakang China, Korea Selatan dan Jepun.
3. Bola Baling Permainan bola baling berasal dari Eropah. Permainan ini merupakan satu permainan yang telah diubahsuai dari permainan-permainan seperti Czeska Hasenka di Czehoslovakia, Handbold di Denmark dan Korball serta Raffbold di Jerman. Semasa perang dunia kedua permainan ini dikenali sebagai Torball yang dimainkan seramai tujuh orang. Pada tahun 1917, bilangan pemain telah ditambah menjadi sebelas orang dan dimainkan di padang bola sepak. Permainan ini telah diasaskan oleh Heizer di Jerman. Pada tahun 1926, Kesatuan Olahraga Amatur Antarabangsa (IAAF) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyelaraskan permainan ini. Pada tahun tersebut juga, Kesatuan Bola Baling Amatur Antarabangsa (IAHF) telah ditubuhkan oleh Avery Brudge di Amsterdam. Seterusnya pada tahun 1936, bola baling buat pertama kalinya dipertandingkan dalam sukan Olimpik yang diadakan di Berlin. Enam buah negara telah menyertainya dan negara Jerman telah muncul sebagai juara. Pada tahun 1938 sekali lagi, Jerman menjadi juara dalam Kejohanan Bola Baling Sedunia di mana 10 buah negara telah menyertainya. Pada tahun1946 (IAHF) telah ditukar kepada Kesatuan Bola Baling Antarabangsa (IHF). Kesatuan ini menggalakkan permainan menggunakan tujuh orang sepasukan. Sekali lagi Kejohanan Bola Baling Sedunia telah diadakan pada tahun 1956 dan kali ini Sweden pula telah menjadi juara. Pada tahun 1956, undang-undang permainan ini telah diubahsuai dan diguna pakai sehinggalah ke hari ini. Antara negara yang menguasai permainan ini ialah Jerman, Yugoslavia, Rusia, Romania, Czechoslovakia, Hungury dan juga Poland. Di Asia, Jepun, China dan juga Korea adalah antara negara yang terkuat di mana pasukan wanita Korea Selatan telah memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik tahun 1988 manakala pasukan lelaki telah memenangi pingat perak. Pada hari ini, sebanyak 68 buah negara telah mendaftar dengan IMF. Sementara itu, Kesatuan Bola Baling Asia pula telah ditubuhkan pada tahun 1974 semasa Sukan Asia di Teheran sedang berlangsung.. Ibu pejabat kesatuan ini ialah di Kuwait. Permainan bola baling di Malaysia dianggap satu permainan yang baru. Ia mula diperkenalkan pada tahun 1976 oleh Lim Hock Han. Persatuan Bola Baling Olimpik Selangor dan Wilayah Persekutuan secara rasminya telah didaftarkan pada 11 Sep. 1985. Cheah Hai Su telah dilantik sebagai presiden dan Lian Chin Nam sebagai Naib Presiden. Pada tahun 1986 persekutuan ini telah menjadi ahli gabungan Kesatuan Bola Baling Asia. Kejohanan Bola Baling Terbuka Selangor dan Wilayah Persekutuan yang pertama telah diadakan pada 2 Jun 1982. Kejohanan Bola Baling Kebangsaan pula telah diadakan pada 7 Dis. 1985 dimana 11 pasukan telah mengambil bahagian. Mulai tahun 1987, permainan bola baling telah diterima sebagai satu permainan yang dipertandingkan di peringkat kebangsaan di bawah kelolaan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM). Di peringkat sekolah, MSSM telah menganjurkan dua kursus iaitu di Kompleks TUDM, Lumut tahun 1985 dan di Sekolah Menengah Sains Selangor pada tahun 1986 untuk melatih guru dari semua negeri dalam aspek kejurulatihan dan pengadilan. Di maktab perguruan pula, permainan ini telah disenaraikan dalam kegiatan kokurikulum pelajarnya dan menjadi salah satu permainan yang dipertandingkan antara maktab-maktab perguruan dalam Pestarama Maktab mulai tahun 1985.
4. Lawn Bowls Lawn bowls adalah satu permainan yang seakan-akan sukan boling. Perbezaannya ialah tenpin boling tujuannya menjatuhkan 10 pin yang telah disediakan diatas lane atau lorong. Lawn bowls pula sasarannya ialah untuk mendekatkan bowls yang dileretkan kepada sebiji bola putih yang dinamakan “jack”. Mengikut Encyclopaedia Britannica, sejarah lawn bowls telah bermula sejak 5000 tahun sebelum masihi. Semasa zaman Firaun, permainan ini dimainkan dengan menggunakan kepala manusia sebagai bowls. Sejarah awal yang dicatatkan tahun 1299 di Southampton, Selatan England, telah didapati “green” yang tertua sekali di mana ia telah dimainkan Masters Tertutup pertama. Gelanggang ini masih digunakan sehingga ke hari ini. St. Thomas telah menulis bahawa permainan ini talah dimainkan oleh kerabat diraja dan orang bangsawan. Mungikut sejarah lawn bowls pada 18 Julai 1588 di Playmouth Hoe, England, Sir Francis Drake telah bermain lawn bowls sementara menunggu kedatangan tentera dari Sepanyol untuk menyerang England. Pada tahun 1778 Captain James Cook telah menemui penduduk di pulau Sandwich sedang bermain permainan yang serupa dengan lawn bowls. Sejarah permainan lawn bowls di Maaysia bermula semasa penjajahan British. Beberapa gelanggang lawn bowls telah dibina di Kelab Tasik Perdana, Kelab Sukan pulau Pinang dan Pengkalan Tentera Udara Australia di Butterworth pada tahun 1924. Setelah tentera Australia kembali ke negara mereka, kelab ini telah diambil alih oleh TUDM pada tahun 1987, tetapi ianya tidak didaftarkan. Pada tahun 1993 kelab ini telah ditukar nama kepada Kelab Lawn Bowls TUDM. Persatuan Lawn Bowls Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 1992. Akhirnya Persatuan Lawn Bowls Malaysia telah bergabung dengan lembaga Boling Dunia (WBB) pada tahun 1993. Pada tahun 1994, bahagian wanita pula telah bergabung dengan Lembaga Boling Wanita Dunia (WIBB). Penyertaan pertama pasukan negara di kejohanan rasmi ialah semasa Festival Sukan Arafura, yang diadakan di Darwin, Australia pada 24 hingga 30 April 1993. Kejohanan rasmi pertama di Malaysia ialah Kejohanan Terbuka Selangor yang telah diadakan di Kelab Golf Sultan Abd. Aziz, Shah Alam pada 17 hingga 20 Sepember 1993. Manakala kejohanan peringkat kebangsaan pula telah diadakan pada 25 hingga 30 Januari 1994 bertempat di kelab yang sama. Gelanggang tiruan yang pertama dibina di negara ini ialah di Pusat Sukan Kampung Pandan, Kuala Lumpur tahun 1994. Kejohanan yang pertama diadakan di gelanggang tiruan ialah semasa Sukan Malaysia yang telah diadakan di Ipoh yang bermula dari 10 hingga 13 Jun 1994. Sehingga kini, Malaysia mempunyai dua gelanggang rumput iaitu di Kelab Golf Sultan Abd. Aziz dan satu lagi di Kelab Lawn Bowls TUDM, Butterworth. Pembinaan gelanggang tiruan telah pun dibina di Ipoh yang mempunyai 2 gelanggang dan sebuah gelanggang di Kampung Pandan, Kangar, Kuala Terengganu, Kuantan, Johor baharu dan Kuching.
5. Gusti (Wrestling) Permainan gusti sebenarnya telah diasaskan oleh askar-askar Greek kuno pada tahun 2000sm. Di Timur Tengah pula, permainan ini merupakan satu seni tradisi mempertahankan diri, tetapi ia agak berlainan sedikit. Ia telah dimainkan oleh orang-orang Iran lebih 100 tahun dahulu sebagai seni mempertahankan diri. Akhirnya, kedua-dua permainan dan seni tradisi ini telah dijadikan satu sukan yang amat popular di negara seperti Iran, Turki, Jourdan, Syria, Mongolia, England dan juga Rusia. Sukan gusti ini akhirnya telah mengalami beberapa perubahan secara beransur-ansur dan ianya mempunyai peraturannya yang tertentu. Ianya telah dibahagikan pula kepada dua kategori iaitu ‘Greco Roman’ yang dipopularkan oleh orang-orang Iran, dan ‘Free Style’ yang dikuasai oleh orang Rusia. Negara-negara pengasas ini akhirnya telah mengembangkan sukan gusti ini ke seluruh Amerika Syarikat dan juga Asia Tenggara. Permainan gusti dianggap oleh orang Iran sebagai satu kesenian yang dimainkan secara lembut. Ianya bertujuan menjatuhkan lawan menggunakan skill dan kekuatan. Ia juga dianggap sebagai satu sukan yang tertua di dunia. Sukan Gusti telah dipertandingkan buat pertama kalinya semasa Sukan Olimpik di Athens tahun 1896. Badan yang bertanggungjawab mengendalikan sukan ini ialah ‘Federation Internationale des Luttes Associees’ (FILA). Sukan ini dijalankan mengikut kategori berat badan. Ianya lebih bercorak kepada individu dan dimainkan didalam gelanggang. Di Malaysia, sukan gusti ini mula diperkenalkan pada tahun 1995 oleh Majlis Sukan Negara dengan mrnggunakan seorang jurulatih dari Iran iaitu Ali Shavenui. Badan yang bertanggungjawab mengendalikan sukan ini di Malaysia ialah Persatuan Gusti Amatur Malaysia yang ditubuhkan pada tahun 1995. Pada bulan Oktober 1997, Malaysia telah menghantar dua orang atlit untuk menyertai Sukan Sea di Jakarta. Penyertaan sulung Malaysia ini hanya dapat mara ke peringkat separuh akhir saja. Seterusnya, Malaysia telah memenangi tiga pingat gangsa di Kejohanan Polis Sedunia yang berlangsung di Stolkholm, Sweden pada Mach 1999. Akhirnya, Malaysia telah memenangi dua pingat emas semasa kejohanan 2nd South East Asia Wrestling Championship yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 18 hingga 20 November1999. Sekarang ini, Majlis Sukan Negara sedang menumpukan perhatian terhadap projek pembangunan sukan gusti bagi persediaan atlit ke Sukan Asia 2006 yang mungkin berlangsung di Kuala Lumpur. Beberapa orang atlit sedang menjalani latihan secara sepenuh masa di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil dengan semua perbelanjaan ditanggung oleh Majlis Sukan Negara.
6. Gimrama ( Gimnastik Berirama ) Gimnastik berirama atau gimrama merupakan satu sukan yang sangat istimewa dan menarik. Sukan tersebut memerlukan kemahiran, kelembutan dan koordinasi tubuh badan yang baik disamping daya mencipta. Gimrama adalah satu disiplin sukan gimnastik yang telah diiktiraf oleh Persukutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG). Ia merupakan pergerakan yang dilakukan atas lantai serentak dengan iringan muzik. Gimrama sebenarnya bermula di Eropah sejak seabad yang lalu. Pada masa itu, ia dianggap sebagai pergerakan gimnastik artistik dan tidak mempunyai undang-undang. Pengasasnya ialah Jacques Dalcroze seorang pensyarah berbangsa Swiss. Beliau telah membuka dua buah maktab perguruan di Switzerland dan memperkenalkan latihan gimrama kepada penuntutnya. Kemudian Rudolph Bode (1881-1970) dan Heinrich medau (1890-1974), kedua-duanya dari Jerman telah memperkenalkan gimrama yang menggunakan bola, gelung dan belantan di sekolah mereka sendiri. Gimnastik berirama moden hanya diiktiraf sebagai sukan hanya pada tahun 1962 oleh Persekutuan Gimnastik antarabangsa. Kejohanan Sedunia buat pertama kali telah berlangsung di Budapest, Hungury tahun 1963. Sejak itu, pertandingan yang sedemikian diadakan dua tahun sekali. Selain itu, Kejohanan Eropah dan Kejohanan Empat Benua telah dimulakan pada tahun 1978. Gimrama juga telah menerima pengitirafan yang tertinggi apabila telah dipertandingkan buat pertama kalinya dalam Sukan olimpik di Los Angeles, USA (1984), dan Seoul, Korea (1988). Pada amnya, perkembangan gimrama di Malaysia bermula di sekolah. Latihan gimrama tidak ditawarkan di mana-mana tempat pada mulanya. Di sekolah, gimrama telah dimulakan sebagai aktiviti kokurikulum. Sukan gimrama telah diperkenalkan secara serius di Malaysia pada tahun 1982 dimana satu Kursus Kejurulatihan Peringkat Asas telah diadakan di Kuala Lumpur dibawah pimpinan Puan Emmy Bellwood iaitu seorang jurulatih dari New Zealand. Pada tahun 1983, Jawatankuasa Teknik Gimrama yang pertama telah ditubuhkan dibawah Persekutuan Gimnastik Malaysia. Seterusnya pada tahun 1984, satu lagi kursus kejurulatihan bagi guru-guru dari sekolah dan maktab telah dijalankan oleh beberapa orang instruktor tempatan. Pada tahun 1985, Persekutuan Gimnastik Malaysia telah mengimport seorang jurulatih dari Australia untuk mengadakan program intensif selama setahun. Seramai 300 orang jurulatih dapat dihasilkan. Pada tahun yang tersebut juga, satu lagi Kursus Kejurulatihan Serantau Peringkat Lanjutan telah diadakan dengan menjemput pakar yang sama. Kejohanan gimrama peringkat kebangsaan yang pertama telah diadakan pada tahun 1985. Sebanyak 30 pasukan dari seluruh negara telah mengambil bahagian. Pada tahun 1986, satu skim pembangunan untuk gimnas yang berasaskan penganugerahan lencana dan sijil kecemerlangan bagi gimnas yang berjaya telah dilancarkan. Seterusnya pada tahun 1989, gimrama telah diperkenalkan di Sukan SEA Kuala Lumpur, dan Malaysia telah memungut lima pingat emas melalui Faiznur Miskin. Selain itu, gimnas peringkat nasional telah diberi peluang bertanding dalam Kejohanan Empat Benua untuk memperolehi pendedahan. Malaysia juga telah mengambil bahagian dalam Kejohanan Sedunia di Alicante, Sepanyol. Dari aspek kepegawaian, kursus kehakiman peringkat kebangsaan yang pertama telah diadakan pada tahun 1987 oleh seorang pakar dari Australia, Cik Karen Ho. Seramai 20 orang hakim kebangsaan telah dihasilkan. Pada tahun 1989 Satu kursus Kejuruhakiman Peringkat Antarabangsa telah diadakan dan dikendalikan oleh seorang jurulatih dari (FIG), Puan Yoshiko Kamo untuk menyediakan juruhakim tempatan ke Sukan SEA 1989. Setakat ini, boleh dikatakan perkembangan gimrama di Malaysia sudah meningkat, selaras dengan adanya Persatuan Gimnastik Asia Tenggara (SEAGON) yang ditubuhkan dan bertempat di Jakarta pada tahun 1989.
7. Ragbi Mengikut catatan, permainan ragbi bermula pada tahun 1823 di sebuah sekolah di England. Permainan ini tercipta daripada perbuatan William Webb Ellis. Semasa bermain bola, tanpa diduga beliau telah menangkap bola lalu dibawa lari menuju ke gol. Melihatkan perbuatan Ellis, rakannya terus mengejar dari belakang, akhirnya terjadilah pergomolan di kalangan mereka dalam usaha merebut bola itu. Perbuatan Ellis itu diikuti pula oleh kawannya yang lain. Maka dari situlah bermulanya satu permainan baru. Bagaimanapun, ketika itu tiada siapapun yang mahu menerima perbuatan Ellis dan rakan-rakannya untuk dikembangkan sebagai sukan. Hanya kira-kira setengah abad kemudian, selepas Ellis meninggal dunia barulah perbuatan itu diingat kembali. Seorang rakannya Mattheur Blaxom telah menceritakan kembali perbuatan Ellis di dalam artikelnya dalam majalah The Meteor tahun 1888. Dalam pada itu, permulaan ragbi oleh Ellis pada tahun 1923 itu telah diterima dan dimainkan oleh penuntut-penuntut Rugby School. Mereka kemudiannya mengadakan peraturan dan undang-undang sendiri. Akhirnya, asas undang-undang permainan ragbi itu diterima hingga ke hari ini. Disamping itu, terdapat pula sekolah-sekolah di England yang mencipta undang-undang sendiri dengan berasaskan undang-undang di sekolah ragbi itu. Dari sinilah, ragbi mula dikenali dan diminati ramai. Pada tahun 1839 di Universiti Cambridge, sekumpulan penuntutnya telah membentuk kelab ragbi yang merupakan kelab ragbi pertama di dunia. Perlawanan peringkat antarabangsa pertama telah dadakan tahun 1871, iaitu England dan Scotland. Ia dimainkan oleh 20 orang sepasukan dalam dua tempoh selama 100 minit. Pada tahun 1870 penggunaan wisel oleh pengadil telah diperkenalkan. Lima tahun kemudian, dua orang penjaga garisan digunakan bagi membantu pengadil mengadili permainan. Bilangan pemain juga telah ditetapkan kepada 15 orang. Badan yang bertanggungjawab ke atas permainan rugbi ialah Kesatuan Rugby (Rugby Football Union) yang ditubuhkan pada tahun 1871. Seterusnya, rugbi mula diperkenalkan di Malaysia selepas perang dunia pertama. Mengikut sejarah, sukan ini pada awalnya bermula di Negeri Sembilan. Beberapa orang pemain termasuk pegawai-pegawai Eropah telah menjalani latihan di Padang Stesen, Seremban. Kemudiannya, tertubuhlah Kelab Ragbi pertama di negara ini. Seramai 50 orang ahli telah mendaftarkan diri. Dari Negeri Sembilan , ragbi berkembang ke Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Singapura. Kelab ragbi pula turut ditubuhkan seperti The Edwardians di Taiping, The Birch Rompers dari Perak, The Penang Asians dan Kelab Selangor dari Kuala Lumpur. Pada tahun 1934, perlawanan ragbi antara negeri yang pertama telah diadakan, iaitu bagi merebut Piala All Blues. Perak muncul sebagai juara. Seterusnya pertandingan ini telah diadakan setiap tahun hinggalah tahun 1963. Apabila Kesatuan Ragbi (KRM) ditubuhkan, pertandingan antara negeri ini telah ditukar dengan Pertandingan Bawah 23 Tahun. Pertandingan Piala Malaya pula bermula beberapa tahun selepas Piala All Blues. Corak pertandingan sama dengan bola sepak iaitu antara negeri. Pada tahun 1983, pertandingan Piala Malaya telah ditukar kepada Piala Agong. Kini, pertandingan Piala Agong merupakan kemuncak aktiviti KRM setiap tahun. Di samping itu, terdapat pertandingan-pertanding lain seperti Kejohanan Anggota Kerajaan, Kejohanan MSSM serta beberapa kejohanan jemputan samada anjuran KRM ataupun negeri-negeri. Kini ragbi terkenal di kalangan pelajar-pelajar sehingga terdapat pula pertandingan khusus untuk peringkat ini. Di peringkat antarabangsa, negara New Zealand yang dikenali sebagai All Black menjadi pasukan yang digeruni dengan memiliki pemain seperti Jonah Somu. Negara lain seperti juara dunia Australia, Afrika Selatan. England dan Perancis juga merupakan kuasa terkuat dalam acara ragbi. Bagi negara Asia, Jepun merupakan negara yang handal namun tahap keupayaan masih jauh berbangding dengan negara Barat.
8. Bola Sepak Bola sepak diminati oleh semua golongan, dari semua peringkat umur. Disana sini orang berain bola sepak. Sebenarnya tiada bukti kukuh yang menyatakan dari manakah bola sepak berasal. Ini kerana tiada satu pun cacatan sejarah yang menyatakan tentang permulaan bola sepak. Terdapat empat negara yang masing-masing mengakui sebagai tempat bermulanya bola sepak. Negara itu ialah Rom Kuno, China, Greece dan Jepun. Adalah dipercayai perlawanan bola sepak yang pertama ialah di antara China dan Jepun. Catatan ini terdapat di sebuah muzium di Munich yang ditulis oleh Li Ju. Beliau mencatatkan perlawanan itu berlangsung sekitar tahun 1000 sebelum masihi. Orang-orang Jepun dikatakan telah bermain bola sepak pada abad pertama iaitu di Kyoto. Orang-orang Rom dan Greek Kuno pula mengakui bahawa mereka telah bermain bola sepak sekitar tahun 500 sebelum masihi. Selain dari catatan sejarah permulaannya, tidak ada pula catatan tentang bagaimana ia dimainkan. Menjelang selepas masihi Mexico dan England pula mengakui bahawa bola sepak berasal dari negara mareka. Walau bagaimanapun, pengakuan kedua negara ini tidak disertai dengan bukti yang kukuh. Di England, bola sepak dipercayai dimainkan pada tahun 276 masihi. Pada masa ini, bola sepak dimainkan dengan tiada peraturan, mereka boleh memegang dan membawa lari bola. Pintu gol pula bermacam-macam jenis dan saiz. Akhirnya pada tahun 1846, Universiti Cambridge dan beberapa pusat pengajian tinggi di England telah menggubal undang-undang tentang permainan bola sepak. Walaupun ianya tidak lengkap, tetapi dari sinilah permulaan undang-undang bola sepak yang dapat kita lihat hinggalah ke hari ini. Apabila Persatuan Bola Sepak England ditubuhkan pada tahun 1863 undang-undang bola sepak terus diperkemas dan menjadi undang-undang rasmi bola sepak. Pada tahun 1871, pertandingan Piala Persatuan Bola Sepak England dimulakan. Pada tahun 1885, bola sepak profesional telah dimulakan, pemain dibayar mengikut kebolehan mereka. Perlawanan bola sepak yang pertama bertaraf antarabangsa ialah di antara England dan Scotland tahun 1872 di Glasgow, Scotland. Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah ditubuhkan pada tahun 1904 di Paris. Negara yang bertanggungjawab dalam penubuhan persatuan ini ialah Belgium, Perancis, Belanda, Sepanyol, Sweden dan Switzerland. Selepas perang dunia pertama anggota FIFA melebihi 50 buah negara, dan kini hampir 180 buah negara menjadi ahlinya. Selepas itu bola sepak terus berkembang dan diminati ramai. Pada tahun1930 Pertandingan Piala Dunia diperkenalkan dan ianya terus kekal hingga ke hari ini. Pertandingan ini merupakan salah satu pertandingan yang terungul dalam arena bola sepak. Bola sepak mula diperkenalkan di Malaysia dalam tahun 1825 oleh askar-askar Inggeris. Bola sepak merupakan satu-satunya permainan pertama dari luar yang dibawa masuk ke negara ini. Pada tahun 1905, Liga Bola Sepak Amatur Selangor ditubuhkan. Stadium pertama yang dibina ialah Stadium Merdeka yang menelan belanja sejuta runggit. Bersempena dengan pembukaan Stadium Merdeka dan sebagai menyambut hari kemerdekaan satu Pesta Bola Merdeka telah diadakan dan ianya terus kekal hingga ke hari ini. Kini, bola sepak merupakan permainan utama di dunia dan dimainkan oleh segenap lapisan masyarakat Kejohanan Piala Dunia merupakan kejohanan yang paling diminati yang diadakan empat tahun sekali. Negara seperti Brazil, Itali, Perancis, England adalah negara terkuat dalam bola sepak. Bola sepak juga kini dijadikan permainan secara kormesil yang mendatangkan keuntungan jutaan ringgit kepada pemain dan kelab-kelab. Antara pemain yang terunggul abad ini ialah Pele, Johan Cruff, Franze Beckembauer, Maradona, Ronaldo dan ramai lagi.
9. Sepak Takraw Sepak takraw tidak mempunyai rekod bertulis bagi membuktikan permulaannya. Tambahan pula sepak takraw hanya dimainkan di Asia tenggara. Mengikut buku Sejarah Melayu, ada dicatatkan sejenis permainan yang menggunakan bola rotan dimainkan pada zaman kesultanan Melaka oleh anak Bendahara Paduka Raja, iaitu Tun Besar. Permainan itu disebut sepak raga. Dengan demikian, bolehlah dikatakan sepak raga berasal dari negara Malaysia. Pada masa itu, sepak raga dimainkan dalam bentuk bulatan di satu kawasan lapang. Ia juga merupakan salah satu permainan yang tertua di dunia. Cara bermainnya ialah dengan menyepak atau menanduk bola secara bergilir-gilir. Selain menyepak, permainan ini juga boleh menggunakan paha, bahu, belakang dan apa sahaja anggota badan kecuali tangan. Setiap sepakan akan dihitung dan matlamat permainan ialah mengekalkan bola di udara. Sepak raga jaring mula diperkenalkan pada tahun 1945. Cara bermainnya diubah suai dan dimainkan oleh enam orang dengan tiga orang sepasukan. Pada peringkat ini, tiada peraturan khusus, hanya undang-undang mulut sahaja digunakan. Peraturan terawal telah diperkenalkan oleh Penduduk Pulau Pinang dengan menubuhkan sebuah badan di peringkat negeri. Antara peraturan yang diperkenalkan ialah sepak raga dimainkan dalam satu gelanggang yang direntang dengan jaring. Tiga orang pemain yang mempelopori permainan ini ialah Mohamad Abd Rahman, Abd. Hamid Mydin dan Yaacob Sayyed. Mereka telah mengadakan pertunjukan di Gelanggang Hospital Haiwan, Jalan Pattani, P. Pinang. Bermula dari sinilah, maka merebaklah permainan sepak raga jaring ke beberapa tempat di Pulau Pinang. Satu pertandingan untuk merebut Piala Tuan S.M. Idid telah diadakan. Sebanyak 36 pasukan telah mengambil bahagian dan pasukan Jalan Hutton menjadi johan. Setelah mendapat sambutan yang mengalakkan sepak raga jaring diperkenalkan pula ke negeri-negeri lain. Perlawanan antara negeri yang pertama telah diadakan pada November 1946 di antara Kedah dan Pulau Pinang. Ini diikuti pula perlawanan antara Pulau Pinang dan Selangor pada bulan disember. Allahyarham P. Ramlee adalah di antara orang yang talah mempopularkan permainan ini. Beliau mempunyai pasukannya sendiri. Apabila beliau berpindah ke Singapura, beliau memperkenalkan pula kepada rakannya di sana. Pada 25 Jun 1960, dengan rasminya Persatuan Sepak Raga Malaya (PSRM) telah ditubuhkan. Encik Mohd. Khir Johari adalah sebagai presidennya dan pada masa itu juga beliau adalah Menteri Pelajaran. Permainan sepak raga jaring juga dimainkan di beberapa negara di Asia. Permainan ini dikenali sebagai “takraw” di negara Thailand. Tarikh sebenar tentang kedatangan atau permulaan permainan sepak raga di negara Thailand tidak pula diketahui, akan tetapi permainan ini sudah pun mendapat tempat di kalangan penduduk di sana. Pada tahun 1965, buat pertama kalinya sepak raga jaring diterima sebagai acara Sukan SEAP yang diadakan di Kuala Lumpur. Pertukaran nama sepak raga kepada sepak takraw dengan sendirinya telah menukarkan nama persatuan samada di peringkat negeri mahupun kebangsaan. PSRM telah menjadi Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM). Peraturan permainannya juga telah dikemaskini dengan penggunaan bola yang lebih besar dan saiz gelanggang yang lebih kecil. Pemain juga dibenarkan untuk keluar gelanggang semasa dalam permainan. Pada 25 hingga 28 Jun 1980 pula, telah diadakan Kejohanan Sepak Takraw Asia Pertama di Kuala Lumpur. Terdapat 5 buah negara yang mengambil bahagian. Selain itu, PSM dengan kerjasama Kementerian Belia Dan sukan telah menghantar pasukan untuk mengadakan perlawanan pertunjukan di China, Korea Utara dan Hong Kong. Perlawanan pertunjukan ini juga telah diadakan dua kali dalam Sukan Asia. Kali pertama ialah di Bangkok tahun 1970 dan kali kedua di New Delhi tahun 1982. Akhirnya, sukan ini telah diterima sebagai acara dalam Sukan Asia tahun 1990 di Hiroshima, Jepun.
10. Skuasy Permainan Skuasy adalah permainan yang mudah dipelajari. Peraturan permainannya mudah difahami oleh pemain. Skuasy dimainkan di dalam gelanggang tertutup yang merupakan sebuah bilik kosong bersiling tinggi dan mempunyai empat dinding termasuk dinding belakang. Matlamat permainannya ialah untuk mendapatkan mata dengan melakukan servis, dan memukul bola supaya lawan tidak dapat mengambil bola yang dipukul itu. Di England, beberapa sekolah mula mencuba dalam permainan ini dengan mendirikan gelanggang sendiri. Pada tahun 1825, permainan ini telah diperkenalkan di Sekolah Harrow. Perkataan skuasy adalah dipercayai diambil dari bunyi bola semasa ia terkena raket. Pada mulanya, skuasy dimainkan secara suka-suka sahaja. Selepas perang dunia pertama, ia telah menjadi sukan yang dipertandingkan di peringkat antarabangsa. Persatuan Skuasy di England ditubuhkan pada tahun 1929. Pada tahun-tahun awal pertandingan skuasy, ianya telah dimenangi oleh pemain-pemain Inggeris, tetapi selepas tahun 1950-an permainan ini telah dikuasai oleh Negara Pakistan yang dimulai oleh Hashim Khan. Kemudian, diikuti pula oleh adiknya Azam Khan dan supupunya Roshan Khan. Permainan skuasy akhirnya telah dibawa masuk ke Malaysia oleh orang-orang Inggeris yang bertugas di negara ini. Tarikh tepat permainan skuasy diperkenalkan di Malaysia tidak dapat dipastikan. Adalah dipercayai ia diperkenalkan sekitar tahun 1920-an. Pada masa itu, ia dimainkan oleh kelab-kelab, khusus untuk orang-orang kulit putih. Permainan skuasy mula diminati oleh rakyat negara ini selepas perang dunia kedua. Selepas tahun-tahun 1960-an, skuasy mula menjadi satu permainan yang semakin diminati hingga ada sekolah-sekolah dan persatuan-persatuan sukan memasukkan permainan ini di dalam senarai sukan mereka. Pertandingan dan kejohanan skuasy mula dianjurkan samada di peringkat sekolah, kelab atau jabatan. Pada tahun 1972, sekumpulan peminat dan pemain skuasy di sekitar Kuala Lumpur telah bertemu di Kelab Tasik Perdana Kuala Lumpur bertujuan menubuhkan sebuah persatuan khusus untuk sukan ini. Akhirnya, Persatuan Skuasy Malaysia (PSM) telah didaftarkan secara rasmi dan diiktiraf sebagai badan sukan untuk permainan skuasy di seluruh Malaysia. Datuk Hisyam Albakri adalah presidennya yang pertama. Dengan adanya Persatuan Sepak Takraw Malaysia, banyak persatuan-persatuan skuasy negeri ditubuhkan termasuk Kelab Skuasy Angkatan Tentera Malaysia dan Kelab Skuasy Polis Diraja Malaysia. Beberapa pertandingan mula diadakan seperti di Kolej Melayu Kuala Kangsar tahun1939 dan Pertandingan Piala Tiger tahun 1966. Kini, sukan Sepak Takraw sering mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan rakyat Malaysia. Ia kini mula dimainkan oleh masyarakat Cina dan India. Ia dimainkan sebagai satu aktiviti waktu senggang. Negara Thailand merupakan negara yang paling unggul dalam sukan sepak rakraw di rantau ini. Seterusnya, muncullah negara lain seperti Myanmar yang telah berupaya mengalahkan negara Malaysia dalam Sukan SEA di Brunei.
RUMUSAN Sebagai rumusan, sukan adalah merupakan satu aktiviti yang mendatangkan banyak kebaikan dan faedah kepada mana- mana individu yang memainkannya. Ianya tidak kira sama ada secara rekreasi atau secara komersil. Dari segi kesihatan, sukan banyak mendatangkan kebaikan kepada tubuh badan kita. Ini dapat dilihat pada sistem kardiovaskular, sistem pencernaan mahu pun jangka hayat seseorang. Sejarah telah membuktikan melalui sukan juga dapat mengeratkan hubungan antara individu mahu pun antara negara-negara. Oleh itu, tidak hairanlah sukan telah dimainkan sejak zaman dahulu kala lagi. Ianya dijalankan secara harmoni dan untuk perpaduan manusia di dunia ini. Sukan dan permainan telah melalui berbagai evolusi perubahan dalam usaha untuk menambah minat setiap individu untuk menceburinya. Kini, sukan telah dijalankan secara komersil dan untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa. Mana-mana negara yang agak ketinggalan akan dibantu dan diberi perhatian oleh sepenuhnya oleh pihak-pihak terbabit. Ini dapat dilihat dalam olahraga, bola sepak, dan sebagainya. Berbagai klinik-klinik sukan telah dianjurkan dan diadakan oleh jaguh-jaguh dunia dalam usaha membantu mengembangkan sukan ke seluruh pelusuk dunia. Situasi sedemikian amat digalakkan terutama untuk menjadi kesinambungan kemajuan sukan dari zaman dahulu kala. Namun, di sebalik kegemilangan sukan terdapat juga beberapa siri kejadian yang memalukan mutu sukan di mata dunia. Ini dapat dilihat dengan pengambilan dadah di kalangan pemain dan atlit dengan tujuan menambahkan kekuatan dan daya tahan kardiovaskular. Jika dibandingkan dengan pemain atau atlit pada zaman lampau, tiada langsung pengambilan dadah dalam usaha untuk menambahkan kekuatan. Ia dimainkan dengan penuh semangat kesukanan dan dalam suasana harmoni. Kemajuan dalam bidang Sains telah juga memajukan permainan sukan. Kecederaan kini semakin berkurangan dan jika belaku kecederaan ia dapat dirawat dengan segera dan dapat sembuh dalam masa yang singkat. Pengetahuan dalam bidang Sains Sukan sedikit sebanyak telah membantu peningkatan dalam kemajuan sukan. Seterusnya, terdapat juga institusi pengajian tinggi kini mula mengadakan program Sains Sukan diperingkat Ijazah dalam usaha membantu meningkatkan pengetahuan dan penguasaan kemahiran dalam sesuatu bidang sukan dan permainan. Penglibatan dan peranan pihak kerajaan juga amat penting dalam memajukan sesuatu sukan. Sebagai contohnya, negara kita Malaysia melalui Majlis Sukan Negara telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memajukan mutu sukan setaraf dengan negara maju yang lain.

No comments:

Post a Comment

Handball Video